Sunday, December 14, 2014

10 Langkah Untuk Kembali Normal Dari Kencing Manis Yang Dicadangkan Pakar

Assaalamualaikum WBT dan salam seantero dunia!

Saya sangat teruja dengan isi kandungan buku Say No To Diabetes hasil tulisan Patrick Holford tentang 10 cara untuk "reverse" kencing manis sepenuhnya!


Saya teruja kerana saya pernah berfikiran penyakit kencing manis tidak akan boleh sembuh.
Sebenarnya fikiran begitu adalah tidak benar.

Saya ada terbaca banyak kisah yang menyayat hati tentang penderitaan pesakit kencing manis sebelum ini. Ada yang kena potong kaki, ada yang dapat penyakit berangkai, ada yang mengalami sakit buah pinggang akibat terlalu bergantung pada ubat dan lain-lain. Amat menyedihkan.

Saya tahu ramai orang di luar sana terseksa dengan penyakit ini.
Namun, tahukah anda penyakit kencing manis boleh sembuh sepenuhnya jika anda betul-betul tahu "resepi"nya?

Mengikut satu kajian (case study) yang diterbitkan di Norwegian Journal of Medicine, seorang jururawat bernama Hannemor telah berjaya mencapai kawalan gula dalam darah yang normal tanpa memerlukan ubatan-ubatan setelah diberi rawatan alternatif oleh Dr Fedon Lindberg. Dr Fedon meletakkan beliau pada diet rendah glisemik yang ketat, senaman dan pemakanan supplemen.
Akhirnya beliau, tidak lagi bergantung pada insulin dan mempunyai gula dalam darah yang normal.

Ini membuktikan dengan mengubah gaya hidup, penyakit kencing manis boleh sembuh.


Namun, apa yang penting, anda perlu mengikuti langkah-langkah penting. Bukan semberono kerana kesannya berbeza!

Saya ingin kongsikan 10 langkah yang sangat penting untuk sembuh dari penyakit kencing manis yang dicadangkan oleh pakar nutrisi yang telah berjaya membantu ribuan pesakit ke arah bebas kencing manis.

Teruskan membaca jika anda mahu BEBAS dari penyakit kencing manis.

1. Mengambil Makanan Yang Rendah Glisemik (RG)
Pengambilan "refined carbohydrates" (RC) yang tinggi antara penyebab terjadinya peningkatan berat badan dan kenaikan paras gula dalam darah. Pengambilan RC yang banyak dinamakan diet glisemik tinggi (TG). 

"Refined carbohydrate" adalah sumber makanan yang karbohidratnya telah diproses atau bertapis. Kandungan akhir dari karbohidrat bertapis ini hanyalah kanji. Jika pemakanan kita dipenuhi dengan RC, ini bermaksud kita menjalankan diet glisemik tinggi kerana kebanyak makanan yang mempunyai karbohidrat bertapis mempunyai glisemik indeks yang tinggi.

Sebaliknya, diet rendah glisemik tidak menyebabkan gula dalam darah naik mendadak tetapi ia mampu mengekalkan kadar gula menjadi kekal. Terdapat 2 cara untuk mengamalkan diet rendah glisemik.

1. Mengambil sedikit karbohidrat + protien
2. Mengambil karbohidrat yang mempunyai glisemik rendah sahaja. Selalunya karbohidrat yang mempunyai glisemik rendah akan melepaskan gula secara perlahan-lahan ke dalam badan. Saya akan terangkan dengan lebih jelas diet rendah glisemik pada entry akan datang.

2. Makan Makanan Yang Mempunyai Kadar Serat Larut (Soluble Fibre) Yang Tinggi
Antara kebaikan mengambil makanan yang mempunyai karbohidrat berglisemik rendah seperti oat, kekacang seperti kacang kuda adalah kerana ia mempunyai serat larut yang semulajadi tinggi. 

Mengambil makanan yang mempunyai kadar serat larut yang tinggi bukan sahaja memberi kesan yang luar biasa dalam menstabilkan tahap gula dalam darah, tetapi ia juga membantu untuk menghapuskan kolesterol yang berlebihan dan lemak serta dapat menurunkan tahap trigliserida dalam darah.

3. Amalkan pemakanan yang boleh membantu insulin untuk lebih berfungsi
Langkah 1 dan 2 akan menyebabkan penghasilan insulin yang kurang, namun perkara yang penting juga adalah bagaimana untuk meningkatkan sensitiviti terhadap insulin, jadi insulin dapat bekerja dengan lebih baik. Antara pembantu insulin adalah mineral yang dipanggil kromium dan juga serbuk kayu manis. Kedua-dua bahan ini amat membantu untuk menjadikan insulin bekerja dengan lebih baik.

4. Meningkatkan pengambilan minyak Omega 3 serta lemak monotaktepu dan mengurangkan omega-6 serta lemak tepu dan elak terus lemak trans.
Salah satu sebab utama mengapa sindrom metabolik (kesan buruk diabetes), rintangan insulin (kesan buruk diabetes) dan diabetes menyebabkan gejala yang tidak baik pada penyakit adalah kerana ia boleh "switch" atau tukar seluruh sistem kita terhadap keradangan. Simptom keradangan yang sering dialami oleh pesakit kencing manis ialah anggota badan mudah menjadi kemerahan atau bengkak.

Apa yang membimbangkan kesan keradangan ini boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain dan lagi teruk ia adalah tersembunyi, seperti "arteri inflammed", yang akhirnya membawa kepada serangan jantung. 

Mengurangkan keradangan adalah amat penting, kerana ia membantu kita keluar dari kitaran ganas sindrom metablic.

Daging dan produk tenusu seperti keju mempunyai lemak tepu yang tinggi dan pengambilan makanan jenis ini cenderung untuk meningkatkan keradangan dan memburukkan lagi keadaan

Antara makanan yang bersifat anti radang semulajadi adalah kunyit dan buah zaitun. Kekacang mempunyai sterol yang tinggi yang membantu untuk mengurangkan keradangan dan membantu paras kolestrol menjadi normal. 

Salah satu langkah untuk mengukur tahap keradangan adalah dengan melakukankan ujian C-reactive protien (CRP) yang boleh diukur dari darah. Ideal skor untuk CRP adalah bawah 1.69mg/l. CRP yang tinggi menunjukkan ciri diabetes dan boleh dikaitkan dengan tahap insulin yang lebih tinggi dan hemoglobin terglikosilat.

5. Tingkatkan pengambilan antioksidan
Antioksidan membantu mengurangkan keradangan. Sayuran dan buah-buahan yang mempunyai warna yang intense mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi seperti blueberries dan brokoli. 

Pengambilan makanan yang tinggi antioksidan perlu ditingkatkan. Banyak kajian menunjukkan bahan antioksidan boleh membantu untuk mengurangkan paras gula dalam darah.

6. Mengambil makanan yang "mesra" hati (liver)

Makanan yang mempunyai antioksidan yang tinggi seperti brokoli dan bawang merah adalah sangat penting kerana ia juga membantu untuk menyokong keupayaan hati untuk bekerja secara optimum. Hati perlu bekerja keras menukarkan glukosa yang berlebihan kepada lemak. Hati yang tidak "aktif" dipanggil penyakit hati berlemak sering terjadi akibat komplikasi dari kencing manis.

Benar, hatilah paling terseksa sebenarnya, bukan pankreas. Kita perlu bantu hati kita untuk membalikkan proses-iaitu, membakar lemak dan BUKAN bina lemak atau kumpul lemak. Antara Makanan Yang sokongan hati ialah sayuran seperti brokoli, kubis, kale, selada air dan sawi.


Sebenarnya kita boleh mengukur keupayaan hati anda untuk memproses glukosa dengan mengambil ujian darah yang mudah dengan mengukur dua enzim dipanggil AST dan ALT.

Apabila hati kita mempunyai terlalu banyak lemak, enzim ini melimpah keluar ke dalam darah, jadi tahap enzim ini akan naik. 

Kita juga boleh melakukannya untuk diri sendiri menggunakan kit ujian di rumah yang dipanggil LiverCheck. Jika skor anda adalah tinggi anda perlu mengikuti diet yang "mesra hati". Dan mengambil supplemen tertentu yang menyokong proses detoksifikasi hati ini. Ini kerana hati bukan sahaja bertanggungjawab untuk singkirkan lemak tetapi menyingkirkan mana-mana toksin dalam badan.

7. Buat senaman setiap hari
Senaman adalah satu kemestian jika anda mempunyai diabetes atau rintangan insulin. Kebaikan senaman adalah lebih daripada sekadar membakar kalori. Ia sebenarnya membantu merendahkan insulin, membantu untuk stabilkan tahap darah dan ia membantu anda untuk membakar lemak dan membina otot. Senaman yang menggunakan berat badan (weight-training) merupakan senaman yang membantu membina otot. Hal ini secara tidak langsung membuat badan anda lebih sensitif kepada insulin. 

Paling mudah, anda hanya perlu bergerak selepas anda makan dalam sepuluh minit iaitu dengan berjalan pantas. Hal ini sebenarnya membantu glukosa daripada darah, masuk ke dalam sel-sel yang memerlukannya, seperti sel-sel otak dan otot. Pergerakan ringan selepas makan ini membantu anda "mengguna" balik kalori makanan yang telah diambil.

Sangat banyak senaman yang boleh dilakukan. Sebaiknya anda juga mempunyai jam tangan yang mempunyai "heart rate" dan "calori used" supaya dapat memantau jumlah kalori yang telah digunakan

8 Kurangkan stress dan tidur secukupnya
Tekanan atau stress terjadi bukan hanya disebabkan oleh perkara-perkara di luar diri anda, ia juga boleh disebabkan oleh perubahan gula dalam darah anda. Jika sel anda "kebuluran"gula atau jika tahap gula dalam darah terlalu rendah, badan anda akan menghasilkan hormon tekanan dipanggil kortisol.

Kesan dari stres, anda menjadi lebih cepat terganggu, cepat marah, cepat lapar dan mempunyai keinginan karbohidrat atau gula yang tinggi. Hal ini membuat anda menjadi lebih tertekan.

Jadi, dengan menstabilkan tahap gula dalam darah, anda akan berasa kurang tertekan dan anda akan peroleh tidur yang lebih baik.

9 Ubah apa yang anda minum dan cara anda minum
Peningkatan terbesar dalam pengambilan gula datang daripada minuman. Banyak minuman yang mengandungi tahap glukosa dan fruktosa yang tinggi. Jika anda mempunyai diabetes, anda perlu benar-benar berhati-hati apa yang anda minum. 

Tiada apa-apa yang lebih baik untuk pesakit diabetes daripada air dan herba teh. Sedikit teh dan kopi tidak menjadi masalah tetapi anda perlu berhati-hati apa yang anda masukkan ke dalam dan apa yang anda makan bersamanya. Menggabungkan kopi dengan snek karbohidrat boleh menghantar gula ke dalam darah kali tahap tiga kali lebih tinggi. Ini kerana gabungan antara kopi dan makanan berkarbohidrat akan memberi kesan terhadap sensitiviti insulin.

Jika anda mempunyai habit suka menambah gula dan susu, kombinasi ini adalah sesuatu yang membahayakan. Susu sebenarnya membuatkan paras insulin menjadi tinggi, walaupun ia rendah karbohidrat.

10 Ambil supplemen setiap hari
Kita semua mungkin pernah dengar jika kita mengambil makanan yang seimbang kita akan dapat semua nutrisi yang kita perlukan. Sebenarnya perkara ini adalah TIDAK BENAR. 

Pertama sekali, ada banyak nutrient yang kita tidak cukup untuk menampung keperluan kita dari makanan termasuk Vitamin C, D dan B12. Apa yang paling penting untuk memastikan untuk memaksimakan penyerapan ke dalam sistem tubuh kita.

Vitamin C dan B kompleks adalah penting untuk menukarkan gula kepada tenaga dan bukannya lemak. 

Vitamin B6, B12 dan asid folik adalah penting untuk proses yang dipanggil metilasi (methylation). Ia penting untuk membuat insulin berfungsi sepenuhnya, dan juga neurotransmitter penting seperti adrenalin dan serotonin yang membuat anda bermotivasi dan dalam suasana yang baik. 

Kekurangan Vitamin B ini menyebabkan tahap homocysteine menjadi tinggi dalam darah anda. Homocysteine (H) adalah asid amino yang terdapat secara semula jadi dalam darah. Tahap "skor H"-memberitahu kita bagaimana badan kita melaksanakan proses metilasi, Itulah sebabnya tahap "skor-H" anda adalah penting untuk statistik kesihatan. 

Jika titik "skor H" anda adalah tinggi, anda memerlukan ketiga-tiga jenis vitamin B.
Jika proses metilasi tidak berjalan dengan baik dalam tubuh anda, ia akan meningkatkan homocysteine. Jadi anda perlu mengambil Vitamin B dan ia akan kembalikankan metabolism anda kepada normal.

Di German, mengambil ujian homocysteine adalah wajib. Skor H yang paling bagus adalah di bawah paras 7.Jika skor H anda lebih dari 7, ia menunjukkan anda kurang pengambilan Vitamin B.

Selain B Complex, terdapat beberapa supplement yang boleh bantu anda untuk mendapat paras gula yang normal seperti Vitamin C, Vitamin E, Zinc, Magnesium, Co-enzyme Q10, Resveratrol and anthocyanidins, milk thistle, gymnema sylvestre, alpha lipoic acid dan glutathione.

10 langkah ini lah yang perlu anda lakukan jika ingin kembali mendapat paras gula yang normal dan hidup tanpa dadah.

Jika dilihat satu per satu, langkah-langkah untuk "reverse" kencing manis ini memerlukan anda untuk mengubah cara makan dan kehidupan. Bukan mudah saya tahu, tapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Sudah beribu pesakit kencing manis mendapat paras gula darah yang normal dan tidak lagi bergantung pada ubat.

Mereka sudah, anda bila lagi?





No comments:

Post a Comment