Saturday, November 8, 2014

10 Cara Pikat Hati Mertua Paling Mudah Untuk Bakal Pengantin

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera Seantero Dunia!

Bulan November dan Disember ini memang bulan favorite orang buat kenduri kahwin. Ye la cuti sekolah. Berderet jemputan. 

Tahniah kepada bakal mempelai. Nak masuk dalam keluarga baru ni memang mendebarkan, bukan. Rileks..jangan gemuruh sangat. Jom saya kongsikan cara nak pikat hati mertua sehingga anda menjadi menantu kesayangan!



1. Berkenan-kenalan dengan bakal  mentua setelah bertunang

Mulakan berkenal kenalan dengan keluarga mertua. Andai tinggal berjauhan, hubungilah mereka melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan waktu berkunjung ke rumahnya.

2. Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama

Sekurang-kurangnya dengan membawa kuih ataupun buah-buahan. Tetapi lebih elok jika anda membawa sesuatu yang boleh dibuat cenderahati. Misalnya dengan memberikan sepasang kain batik atau pelikat sebagai tanda kenangan.

3. Kenali sikap sebenar mertua anda

Tanya kepada pasangan anda, apa yang disukai dan dibenci oleh mertua. Jika anda tahu apa yang disukai dan dibenci, secara tidak langsung ini boleh memberikan persediaan ketika sudah menjadi ahli keluarganya kelak.

4. Setelah berkahwin, jangan sesekali anda memarahi anaknya di hadapan mereka

Keadaan ini memberikan gambaran sebenar sikap anda terhadap anak mereka. Situasi ini mungkin akan menimbulkan kebencian dihati mertua.

5. Setiap kali bertandang, cuba mengambil hatinya

Dengan bercerita tentang pengalaman lucu yang boleh menghiburkan hatinya. Jangan lupa bercerita dengan sepenuh perhatian agar dia tidak rasa jemu. Ingat, jangan pula anda bercerita sesuatu yang dianggap bodoh dan boleh memalukan diri sendiri.

6. Berkongsi minat dengannya

Kalau dia gemar bercucuk tanam, anda juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia gemar memasak, tidak salah anda cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri anda betul-betul berminat dengan apa yang disukai. Bagaimanapun anda dinasihatkan jangan belajar sambil lewa kerana mungkin dia beranggapan anda tidak serius.

7. Ingat hari-hari penting yang berkaitan dengan mereka

Contohnya seperti ketibaan Hari Ibu, Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Bapa dan Hari Lahir, jangan lupa menelefon mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda berkunjung ke rumahnya dengan membawa hadiah. Atau anda juga boleh membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.

8. Paling penting, jaga pertuturan anda

Jika sebelum ini anda seorang yang ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar menjaga pertuturan anda. Kata orang, kerana mulut, badan binasa. Jadi berhati-hati ketika menuturkan sesuatu di hadapan mereka. Jangan sampai menyinggung perasaan keluarga mertua.

9. Setelah selesai majlis kenduri, pastikan anda ringan tulang membantu mengemaskan apa yang patut

Terutamanya jika kenduri dilakukan dengan memasak sendiri. Pasti banyak barang yang patut dibasuh seperti periuk, kuali, gelas atau pinggan mangkuk. Walaupun anda keletihan, tetapi cuba sibukkan diri dengan menolong apa yang patut. Tetapi jika majlis dilakukan secara katering, cubalah mengemas apa yang patut di dalam atau luar rumah.

10. Cuba mengasihani keluarga mertua seperti anda menyayangi keluarga sendiri

Anggaplah mereka sebahagian daripada darah daging sendiri supaya hubungan akan bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Walaupun jika ditakdirkan anda tiada jodoh dengan anak mereka, pastikan anda sentiasa menghubungi mereka walaupun sekadar bertanya khabar sahaja.


Semoga bakal-bakal pengantin akan menjadi menantu kesayangan!

Amin


No comments:

Post a Comment