Monday, February 20, 2012

Ada Apa dalam Susu Ibu

Sahabat Yang Dikasihi,

Ibu-ibu yang baru melahirkan anak, disarankan untuk melakukan penyusuan ekslusif untuk tempoh 6 bulan pertama dan digalakkan untuk meneruskan penyusukan anak sehingga 2 tahun. Hal ini kerana, ia memberi kebaikan kepada bayi dan ibu. Kenapa yer? Untuk bayi, dengan meminum susu ibu, ia boleh melindungi bayi daripada jangkitan dan mengurangkan kadar masalah kesihatan termasuk obesiti dan asma. Bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi pula, ia amat membantu untuk mengecutkan rahim, dan mempercepatkan pendarahan untuk berhenti selepas bersalin. Lagipun, penyusuan boleh mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.

Rasanya semua orang tahu, susu ibu merupakan pemakanan terbaik untuk bayi. Banyak khasiat dalam susu ibu yang membantu melindungi bayi daripada jangkitan dan penyakit. Protein susu dalam susu ibu adalah lebih mudah dihadam berbanding susu formula atau susu lembu. Dan, kalsium dan zat besi dalam susu ibu lebih mudah diserap.

Jom kita tengok apa yang ada dalam susu yang istomewa ini?

1) Protein

Salah satu komponen besar susu ibu adalah protein. Malah, terdapat dua jenis protein yang terdapat dalam susu manusia, yang dipanggil "whey protein", dan "protein kasein".Walau bagaimanapun, susu ibu adalah lebih mudah bagi bayi untuk mencerna. Susu ibu adalah sekitar 60 hingga 80 peratus protein whey. Protein ini fungsinya untuk mencegah jangkitan pada bayi anda.

Laktoferin

Protein ini adalah protien yang sangat penting untuk saluran usus bayi anda. Ia menghalang pertumbuhan bakteria dan yis yang memerlukan zat besi untuk hidup. Secara tak langsung boleh mengurangkan risiko untuk mendapat serangan penyakit oleh bayi. Ia juga merupakan satu kuasa besar yang berkesan sebagai anti-pengoksidaan, anti-kulat, anti-bakteria, anti-virus, anti-radang, agen anti-kanser dan ejen untuk meningkatkan imunisasi.

Molekul Laktoferin

Komponen asid amido untuk manusia dan lembu dalam laktoferin

Lysozyme

Merupakan enzim antimikrobial, didapati dalam susu ibu. Bahan ini mempunyai kesan penting kerana ia menentukan jenis bakteria yang boleh hidup dalam saluran usus. Menariknya, tahap lysozyme dalam susu tidak terjejas dengan pemakanan ibu. Bermaksud ia sentiasa ada dan tidak merosot kandungannya.

Faktor bifidus

Fungsi Faktor bifidus dalam susu ibu adalah untuk menyokong pertumbuhan Lactobacillaceae, iaitu bakteria bermanfaat yang melindungi bayi daripada bakteria dan parasit berbahaya. Bayi yang menyusu dengan susu ibu mempunyai tahap lactobacillus sepuluh kali lebih besar daripada yang bayi yang diberi susu formula.

Secretory IgA

Susu ibu sangat kaya dengan immunoglobin. Salah satu immunoglobin yang penting dipanggil Secretory immunoglobin A (slg A). IgA ini mempunyai keupayaan untuk mengikat bahan-bahan asing (termasuk bakteria berbahaya) supaya mereka boleh dihapuskan dari badan. SlgA banyak melindungi tekak, hidung dan telinga serta saluran gastrousus. Kolostrum (susu pekat berwarna kuning) yang keluar dari payu dara ibu pada awal kelahiran mempunyai slg A yang tinggi. Ia juga membantu untuk memberi perlindungan terhadap E. Coli dan juga alahan. Imunoglobulin lain, termasuk IgG dan IgM, di dalam susu ibu juga membantu melindungi daripada jangkitan bakteria dan virus.


2) Lemak

Susu ibu juga mengandungi beberapa lemak yang sangat bermanfaat. Terutamanya, Omega 3 lemak seperti DHA dan AA. Lemak ini adalah untuk membantu kerja-kerja otak bayi, memastikan bahawa sistem imun berfungsi dan membantu dalam pengambil vitamin larut lemak. Walau bagaimanapun, jenis lemak boleh dipengaruhi oleh diet ibu.Lemak untuk perkembangan otak.

3) Karbohidrat
Laktosa merupakan sejenis karbohidrat utama yang ditemui dalam susu ibu. Dianggarkan 40% jumlah kalori adalah dari susu ibu. Laktosa membantu untuk mengurangkan jumlah bakteria yang tidak sihat di dalam perut, meningkatkan penyerapan kalsium, fosforus, magnesium dan. Ia membantu untuk melawan penyakit danmenggalakkan pertumbuhan bakteria sihat dalam perut.

4) Vitamin

Jumlah dan jenis vitamin dalam susu ibu secara langsung berkaitan dengan pengambilan vitamin oleh ibu. Disebabkan itu, ibu menyusu perlu mendapatkan pemakanan yang berkhasiat termasuk vitamin. Vitamin larut lemak, termasuk vitamin A, D, E, dan K, adalah penting untuk kesihatan bayi. Vitamin larut air seperti vitamin C, riboflavin, niasin, dan asid panthothenic juga penting. Selalunya, ibu-ibu yang mengandung telah dibekalkan dengan vitamin secukupnya untuk memastikan tumbesaran bayi dan kesihatan adalah normal di dalam kandungan. Ia juga merupakan persiapan untuk menyusukan bayi apabila bayi lahir nanti.

Lihat betapa, berkhasiatnya susu ibu. Semua khasiat yang diperlukan oleh bayi ada dalam susu ibu. Alhamdulillah. Jom kita sokong penyusuan susu ibu!

No comments:

Post a Comment